Apakah rasional bersara pada umur 60 tahun?

PELBAGAI reaksi diberikan terhadap cadangan melanjutkan usia persaraan kakitangan awam dan swasta kepada 60 tahun. Pihak yang menyokong antara lain bertegas ia demi keperluan dan kepentingan masa depan bagi menangani kenaikan kos sara hidup, yang menentang pula khuatir ia menyekat peluang kenaikan pangkat, meningkatkan kadar pengangguran, menyumbang kepada masalah sosial dan jenayah.


Bersara 60 tahun langkah atasi kenaikan kos hidup
Kesian....
Datuk Maznah Mazlan (Timbalan Menteri Sumber Manusia)
APA pandangan Datuk mengenai cadangan ini? Secara keseluruhannya, tujuan had umur persaraan dilanjutkan adalah bagi membolehkan kakitangan dalam perkhidmatan berdepan pelbagai kenaikan kos sara hidup, termasuk perubatan, perumahan dan barangan keperluan harian. Kita melihat isu usia mempunyai implikasi begitu besar kepada produktiviti guna tenaga kerja di negara ini. Sekarang ini, sektor swasta belum ada penetapan umur persaraan. Perkara ini sedang dikaji kerajaan serta kementerian dan sudah ada pelbagai inisiatif dengan mengumpulkan maklumat kajian dan hasil rundingan dengan semua pihak berkepentingan seperti kementerian, agensi kerajaan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), wakil majikan, wakil pekerja dan industri sebelum memberi keputusan terbaik kepada semua pihak. 

Kenapa perlu kajian semula selepas sekian lama mengikut amalan biasa? Pertama, kita perlu melihat daripada aspek demografi. Jumlah penduduk di negara ini berusia 60 tahun ke atas pada 2006 adalah 1.8 juta dan pada 2010 seramai 2.1 juta, dijangka meningkat kepada 2.7 juta pada 2015 dan seterusnya bertambah. Kedua, kadar kesuburan yang mana pada 1950-an, purata seorang ibu melahirkan antara enam hingga tujuh anak, menyusut pada 2010 pada purata hanya dua hingga tiga anak.

Kita faham sekarang wanita ramai kahwin lambat kerana pendidikan dan kerjaya, ada juga memilih tidak berkahwin atas pilihan sendiri atau sebab lain. Apabila bilangan berusia 60 tahun bertambah dan kesuburan menyusut, ia sekali gus mengakibatkan kita kekurangan sumber tenaga kerja. Sekarang kita ada ramai pekerja asing, jika kadar penggantian menyusut diakibatkan masalah kesuburan, kita terpaksa bergantung kepada pekerja asing. Langkah awal melanjutkan perkhidmatan adalah cara terbaik menangani masalah ini selain membantu mereka dalam aspek kewangan selepas bersara.

Boleh Datuk perjelaskan lebih lanjut mengenai aspek kewangan selepas persaraan?Berdasarkan kajian KWSP pada 2009, 73 peratus mereka yang bersara pada usia 55 tahun memiliki simpanan RM50,000. Keadaan bertambah buruk apabila purata jangka hayat meningkat sehingga 72.9 tahun. Hanya berbekalkan RM50,000 simpanan selepas bersara, seseorang itu hidup dalam paras kemiskinan dengan purata pendapatan bulanan RM530. Justeru, saya yakin sekiranya perkhidmatan pekerja dilanjutkan sekurang-kurangnya lima tahun, mereka tidak perlu bergantung kepada sesiapa kerana masih mempunyai pendapatan tetap dalam tempoh beberapa tahun selain simpanan KWSP juga akan semakin bertambah. 

Berdasarkan angka daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 2010, bilangan orang tua tidak bekerja yang menerima bantuan adalah sekitar 120,496 orang. Ini bermakna kerajaan memperuntukkan RM422 juta setahun untuk menampung golongan ini dan ia satu beban walhal peruntukan itu boleh digunakan untuk menampung kos lain. 

Namun, menaikkan had umur persaraan juga dilihat boleh memberi kesan negatif terhadap produktiviti dan kualiti tenaga kerja?Seperti yang kita ketahui, umur bekerja hari ini ialah antara 16 hingga 64 tahun. Soal produktiviti atau menyimpan ‘dead wood’ dalam satu organisasi tidak timbul kerana ia tidak berkaitan dengan umur. Orang muda pun ada yang tidak produktif. Kementerian melihat ia sebagai kebaikan kerana keperluan tenaga kerja berpengalaman wajar dikekalkan selagi mereka mampu berkhidmat. Kita juga akan fikirkan sama ada memberi pilihan atau mandatori kepada pekerja jika cadangan ini diluluskan, bergantung kepada hasil kajian dan perbincangan yang akan diumumkan tidak lama lagi. 

Satu lagi faktor ialah tahap kesihatan yang meningkat ketara. Jangka hayat pada 1950-an, purata boleh hidup dalam lingkungan 48.5 tahun, iaitu lelaki sehingga 47 tahun dan wanita pada purata 50 tahun, jadi sesuai dengan had persaraan 55 tahun. Tetapi pada 2010, purata jangka hayat meningkat dengan lelaki sehingga 72.9 tahun dan wanita 77.6 tahun. Ini menunjukkan mereka mampu bekerja lebih lama. Jika hendak dibandingkan dengan negara lain, kita agak ketinggalan. Jepun dan Korea Selatan sudah melanjutkan usia persaraan hingga 60 tahun, Brunei, Indonesia, Thailand, Filipina, Vietnam dan Kemboja juga melakukan perkara sama bagi sektor swasta mereka. Singapura pula melanjutkan hingga 62 tahun dan Australia 65 tahun. Usia bersara 55 tahun di Malaysia ketika ini hanya meletakkan kita sama dengan Bangladesh, Sri Lanka, Nepal dan Papua New Guinea. 

Kebanyakan golongan muda dalam sektor swasta dan awam membantah cadangan itu, menyifatkannya menyekat peluang kenaikan pangkat, meningkatkan kadar pengangguran dan masalah sosial. Ada juga sinis menyindir cadangan ini mungkin kerana KWSP sudah kehabisan wang dan kerajaan ada agenda sendiri?Di sebalik reaksi negatif yang diterima, saya bertanggungjawab untuk menjelaskan bahawa cadangan melanjutkan umur persaraan ini tiada kaitan dengan peluang kenaikan pangkat mahupun kadar pengangguran. Kajian Bank Dunia selama 42 tahun terhadap negara maju mendapati lanjutan umur persaraan tidak menjejaskan peluang pekerjaan golongan muda kerana mereka kurang berpengalaman dan pengetahuan jika dibandingkan dengan pekerja lama. Malah, kerajaan juga sudah melakukan pelbagai usaha membantu golongan muda melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang berpotensi tinggi memacu pertumbuhan dan menyumbang secara langsung terhadap peningkatan ekonomi negara selain Model Baru Ekonomi yang mana pihak swasta akan memainkan peranan lebih ketara manakala sektor awam akan jadi pemudah cara kepada sektor swasta. Kita dapati semua inisiatif ini akan menjana pekerjaan baru yang begitu banyak dan dijangka 3.3 juta peluang pekerjaan akan ditawarkan pada 2020. 

Selain itu, usaha memperkasakan bidang kemahiran dengan latihan dalam bidang teknikal dan vokasional secara tidak langsung membuka peluang lebih kepada golongan ini untuk tidak hanya bergantung kepada pekerjaan tradisi tetapi juga bidang kemahiran. Tidak timbul isu kewangan atau agenda tertentu kerana cadangan ini jelas untuk masa depan negara. 

Jika diluluskan, apa kaedah paling baik akan digunakan. Adakah melalui kesediaan pekerja sendiri untuk menyambung khidmat selepas bersara atau keputusan dibuat berdasarkan merit? Buat masa ini kita belum menentukan sama ada lanjutan umur persaraan ini mandatori atau pilihan. Bagaimanapun, pemberian pilihan dilihat sebagai sesuatu yang baik bagi memberi peluang kepada setiap individu membuat keputusan berdasarkan kemampuan masing-masing. Merit atau penilaian pula bergantung kepada organisasi itu sendiri. Yang pasti kami akan menetapkan majikan tidak boleh memberhentikan pekerja selagi mereka belum mencapai umur persaraan, kecuali atas sebab tertentu seperti sakit atau sebagainya.

Sumber: Berita Harian 2/10/2011


Burukkan Krisis Pengangguran 

KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) tidak perlulah melalut mahukan kakitangan awam dinaikkan umur persaraan wajib daripada 58 tahun kepada 60 tahun. Pelbagai masalah akan timbul jika ia dilaksanakan juga.

Pertama, lambakan siswazah sedang mengganggur berjumlah ratusan ribu itu akan lebih parah lagi kerana terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan kerja.

Kedua, prestasi pekerja lanjut umur itu tidak akan sama dengan prestasi mereka yang muddan segar segalanya.

Ketiga, kenapa kerajaan harus membazirkan membayar gaji maksimum apabila ditambah dua tahun lagi, sedangkan kita boleh ambil tenaga pekerja yang muda dengan gaji minimum dan lebih aktif itu?

Keempat, apabila seseorang itu berusia 60 tahun, kebanyakan kakitangan ini tidak begitu cekap dalam penggunaan pengendalian komputer dan sistem canggih lain di pejabat.

CUEPACS sepatutnya berjuang bagi kenaikan gaji untuk ahli-ahlinya, terutama sekali yang berpendapatan rendah dan bekerja pula di bandar-bandar besar, bukannya perjuangkan masalah orang hendak pencen. 

Sumber: Utusan Malaysia 16/5/2011 SYED ABDULLAH Ampangan, Seremban.


Terima Kasih