Mesyuarat Pertama Semakan SBPA Selepas Tahun Baru Cina

Utusan Malaysia
18/1/2012

PUTRAJAYA 17 Jan. - Mesyuarat pertama pasukan petugas bagi mengkaji semula pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dijangka diadakan selepas Tahun Baru Cina.

Pengerusinya, Tan Sri Ismail Adam berkata, pasukan petugas yang dianggotai pelbagai pihak itu akan mengenal pasti beberapa perkara yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penjawat awam.

''Anggota pasukan petugas akan meneliti isu-isu berbangkit berhubung pelaksanaan SBPA, mereka akan membuat rumusan dan kita akan bertemu untuk berbincang mengenainya,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lepas mengarahkan SBPA disemak semula untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan pihak-pihak tertentu.

Berikutan itu, satu pasukan petugas ditubuhkan dipengerusikan Ismail yang juga bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam berdasarkan pengalaman luas beliau dalam hal berkaitan perkhidmatan awam.

Pasukan tersebut dianggotai pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Awam; Jabatan Peguam Negara; Kementerian Kewangan; dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman serta pegawai kementerian yang berkaitan.

Mereka diberi tempoh dua bulan iaitu sehingga 16 April untuk mengkaji isu-isu tersebut dan seterusnya mengemukakan cadangan-cadangan kepada kerajaan. Penyerahan surat pelantikan kepada semua anggota pasukan petugas oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan akan berlangsung di sini, esok.

Ditanya gesaan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) supaya wakil kesatuan itu turut dilantik menganggotai pasukan itu, Ismail berpandangan, kehadiran wakil CUEPACS mencukupi untuk mewakili kakitangan awam pelbagai bidang.

Mengenai tempoh dua bulan yang diperuntukkan kepada pasukan untuk menyelesaikan semakan semula, katanya, beliau yakin segala isu berbangkit akan dapat dirungkai mengikut had masa yang ditetapkan.

''Kita kena lihat sama ada isu-isu berbangkit itu mudah atau rumit. Kalau mudah tentunya kita akan dapat menyelesaikannya dengan cepat, namun saya pasti segala-galanya akan selesai mengikut had masa yang ditetapkan,'' katanya.

Terima kasih daun keladi

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...