Intervensi Meningkatkan Kemahiran Mengeja

Tulisan ini adalah sambungan daripada post sebelumnya iaitu punca-punca murid lemah mengeja.

Mengeja memerlukan seseorang mengingat dan mengetahui banyak perkataan. Sekiranya arahan membaca dan mengeja diasingkan, maka kanak-kanak dapat meningkatkan kemahiran membaca dan mengeja serentak.

Terdapat beberapa kaedah pengajaran dan pembelajaran yang dapat digunakan oleh guru sebagai langkah intervensi untuk membantu murid mengatasi masalah dalam kemahiran mengeja.

1. Kaedah Abjad
Kaedah ini sememangnya digunakan untuk mengajar murid mengeja. Murid perlu mengenal semua abjad sebelum murid berjaya mengeja sesuatu perkataan dengan baik. Contohnya : untuk mengeja "ibu", murid perlu kenal abjad "i", "b" dan "u".

2. Kaedah Fonik/Fonetik
Kaedah ini adalah berdasarkan bunyi sebutan dalam suku kata dan menggabungkannya dengan suku kata yang lain. Untuk mengeja sesuatu perkataan, murid perlu membunyikan huruf-huruf terlebih dahulu, kemudian membentuk suku kata dan seterusnya perkataan. Contohnya: Perkataan bola dieja [b (beh) + o (o) = bo] dan l (leh) + a (a) = la]. Kedua-dua suku kata kemudian digabungkan iaitu [bo] + [la] dan ia menjadi [bola].

3. Kaedah Elektik
Kaedah elektik adalah kaedah campuran atau gabungan di antara dua pendekatan iaitu pendekatan membina dan pendekatan cerakinan. Beberapa kaedah digabungkan seperti kaedah bunyi, kaedah abjad dan kaedah suku kata, kaedah rangkai kata, kaedah ayat. Kaedah ini adalah mengikut prinsip psikologi membaca, maka ia dapat disesuaikan dengan kehendak dan kebolehan murid untuk membaca dalam sebarang keadaan.

Cara pengajaran

Huruf: Guru memperkenalkan huruf abjad berdasarkan bunyi huruf sahaja. Contonya, a - ayam, u - ular. Guru tidak boleh memperkenalkan nama huruf abjad. 

Suku kata:  Guru mengajar suku kata menerusi perkataan. Contohnya, ba - baju, bakul, basikal, bawang.


4. Kaedah Suku Kata
Kaedah ini dimulakan dengan suku kata yang asas iaitu KV, KVK, KVKVK dan seterusnya. 

5. Teknik Perisian Komputer
Pembelajaran membaca merupakan aktiviti kognitif yang melibatkan pengutipan maklumat  daripada teks yang dibaca. Melalui penggunaan perisian komputer, bahan-bahan boleh dihasilkan bukan sahaja dalan bentuk teks malah dalam bentuk visual dan audio. Hubungan antara teks dengan imej sebagai elemen dalam proses membaca dapat dilihat menerusi teori dwipengkodan.

Teori dwipengkodan (Paivio, 1986) menjelaskan bahawa murid yang didedahkan dengan dua mod pembelajaran (melalui visual dan verbal) dapat meningkatkan ingatan dan kefahaman. Dalam teknik ini, murid diberi peluang untuk membina makna teks yang dibaca menerusi penghasilan gambaran visual.

Namun demikian, menurut Wienstein dan Mayer (1986) serta Post dan Carreker (2002), murid tidak berupaya menghasilkan gambaran visual secara efektif jika murid tidak dibantu oleh guru menerusi galakan atau pendedahan menggunakan strategi pembelajaran ini.

6. Mendengar Perakam Suara
Murid mendengar dengan teliti dan mengulangi cara mengeja yang dimainkan oleh pita rakaman.

7. Kaedah Multisensori
Kaedah ini adalah berdasarkan kepada pengamatan terhadap pelbagai deria seperti deria visual, deria sentuhan, deria suara, dan gabungan semua deria. Kaedah ini membantu murid terutamanya murid yang mengalami masalah pembelajaran.


Terima kasih daun keladi

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...