Saya Pandai Membaca Kaedah Suku Kata - Buku

Buku Saya Pandai Membaca Kaedah Suku Kata ini dibeli oleh salah seorang ibubapa anak murid saya. Murid tersebut membawanya ke kelas pemulihan.  Murid ini memang rajin. Apabila latihan yang saya berikan sudah siap dan ditanda, dia akan sambung membuat latihan dalam buku ini.

Saya ambil kesempatan untuk membelek-belek buku ini. Persembahan buku ini agak menarik dengan ilustrasi gambar yang menarik, cantik dan kemas tersusun.

Siri buku ini mengandungi 4 judul. Sayangnya saya tidak berpeluang untuk meninjau ke semua judul buku. Adakah benar kaedah yang digunakan adalah keadah suku kata? 

Menurut penulis buku ini yang tidak disertakan namanya, program bacaan awal menggunakan buku ini akan membolehkan murid membaca dengan mudah dan tidak perlu mengeja sesepatah kata itu. Suku kata-suku kata diperkenalkan secara berperingkat-peringkat dan diulang-ulang secara latih tubi melalui kata-kata, ayat-ayat dan petikan-petikan. 

Namun apa yang saya perhatikan, petikan yang terdapat dalam buku 1 agak sukar untuk dibaca oleh murid kelas saya. Contohnya petikan "Ayah Aman Ke Pasar Mini", walhal Buku 1 lebih kepada pengenalan kepada bunyi huruf vokal dan huruf konsonan. Selepas diperkenalkan bunyi huruf vokal murid kemudian akan membaca ayat dan seterusnya petikan. 

Nampak cepat dan mudah tetapi hakikatnya apabila saya minta murid pemulihan membaca petikan, mereka masih tergagap-gagap. Apapun, saya saya fikir buku ini kurang sesuai untuk kegunaan pemulihan khas. Mungkin ia boleh dijadikan rujukan dan panduan guru dalam mempelbagaikan aktiviti dan kaedah pengajaran dalam kelas.








Terima Kasih