Hukuman Rotan Pelajar Bakal Dilaksanakan Mulai Tahun 2017?

Menurut laporan Utusan Online, Pengetua atau guru akan diberi kuasa penuh untuk melaksanakan hukuman rotan terhadap pelajar yang melakukan kesalahan displin di sekolah mulai tahun 2017. Walau bagaimanapun hukuman rotan tersebut hanya boleh dilakukan secara tertutup dan tidak dibenarkan dilakukan di khalayak ramai seperti semasa perhimpunan.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Chong Sin Woon, draf penambahbaikkan peraturan displin tersebut akan dibawa ke Jabatan Peguam Negara untuk diperhalusi selepas kajian terhadap Peraturan-Peraturan Displin Pelajar 1959/ Ordinan Pendidikan 1957 dibuat.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof - Pengetua/Guru besar hanya dibenarkan merotan murid-murid tertakluk kepada syarat tertentu untuk kesalahan serius berdasarkan SURAT PEKELILING IKHTISAS BIL. 7/2003 : KUASA GURU MEROTAN MURID.

Dr. Khair menjelaskan bahawa hukuman rotan sentiasa dibenarkan kerana berasaskan peruntukan yang disediakan dalam Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959 namun hanya dinyatakan jenis hukuman yang boleh dikenakan mengikut keseriusan sesuatu kesalahan.

Pekeliling 2003: Kuasa guru merotan murid



Wajarkah guru merotan pelajar?
SEREMBAN: Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS) masih menyiasat dari segenap aspek kes guru wanita sebuah sekolah menengah di Kuala Klawang, Jelebu yang didakwa merotan pelajarnya sehingga menyebabkan mangsa kini menerima rawatan di hospital kerana tidak dapat bergerak.

Isu kewajaran guru merotan murid telah banyak dibincangkan dalam akhbar dan media sosial. Walaupun ada pendapat yang menentang namun ada juga yang menyokong kerana merasakan guru mempunyai peranan besar membantu menangani salah laku pelajar. Dengan timbulnya kes-kes seperti di atas, ada yang beranggapan bahawa hukuman rotan perlu dikaji semula terhadap mekanisme pelaksanaannya.

Timbul persoalan tentang kewajaran hukuman merotan yang pernah diberikan kuasanya kepada guru tetapi telah dilarang mulai tahun 1983 ketika Tan Sri Murad Mohamed Noor menjadi Ketua Penolong Pengarah Pelajaran Malaysia. Beliau dengan tegasnya mempertahankan tindakannya untuk menarik kembali kuasa guru dari merotan pelajar dengan alasan biarlah pelajar ini dididik dengan penuh hemah tetapi kesannya apa yang dapat kita lihat sehingga hari ini ialah pelajar semakin berani mempertikaikan tentang peraturan dan disiplin sekolah.

Pelbagai isu negatif yang melibatkan perlakuan negatif pelajar terhadap guru antaranya pelajar mencekik seorang guru perempuan di Pulau Pinang, isu pelajar tumbuk guru di Sabah, isu kereta guru dirosakkan pelajar di Terengganu dan lain-lain. Oleh hal yang demikian, guru dalam dilema samada ingin menggunakan hukuman rotan atau tidak di sekolah.



Berkesankah hukuman rotan?

Laporan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) bertajuk Keganasan Terhadap Kanak-Kanak berpendapat bahawa amalan itu hanya akan memberikan kesan negatif kepada emosi serta pelajaran kanak-kanak. Laporan tersebut menyebut bahawa hukuman yang berbentuk fizikal sebenarnya tidak memberi kesan positif kepada pelajar, malah akan menjadi lebih teruk lagi apabila mereka secara tidak langsung mula beranggapan bahawa keganasan boleh diterima pakai ketika berhadapan dengan masalah.

Hanya sedikit nilai positif yang diperoleh oleh pelajar yang pernah menjalani hukuman fizikal di sekolah. Sebaliknya, apa yang lebih merisaukan adalah pelajar berkenaan hilang matlamat dalam akademik dan kurang bermotivasi untuk berjaya. Kajian tersebut dijalankan dalam tempoh lima tahun menerusi lawatan dan pemantauan intensif daripada sembilan bahagian, termasuk kerajaan, orang awam dan kanak-kanak. Di samping lawatan dan pemantauan, borang kaji selidik turut diedarkan kepada 133 negara di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Laporan tersebut turut menyatakan bahawa kanak-kanak yang diberi hukuman fizikal di sekolah mempunyai nilai moral yang lebih rendah dan cepat menjadi tertekan serta bersikap agresif. Ada kalanya kesalahan kecil seperti tidak melakukan kerja rumah turut berhadapan dengan hukuman tersebut.

UNICEF percaya bahawa hukuman fizikal ini perlu dihapuskan kerana ia bersifat penganiayaan dan tidak berkesan dalam mendidik pelajar menjadi lebih baik dan berdisplin. Untuk mengukuhkan lagi kajian tersebut, Konvensyen Hak Asasi Kanak-kanak turut mengharamkan cara hukuman yang zalim, tidak berperikemanusiaan tanpa mengira apa jua keadaan sekalipun.


Hukuman rotan di sekolah masih relevan?

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Komander (Kehormat) Hashim Adnan berpendapat bahawa hukuman rotan di sekolah masih relevan bagi tujuan mendidik dan mendisplinkan pelajar walaupun banyak negara khususnya di barat sudah memansuhkan hukuman rotan di sekolah, namun dalam konteks negara-negara di timur termasuk Malaysia, hukuman rotan di sekolah masih diperlukan.
Kita berharap, kalau dapat, kita teruskan juga hukuman rotan ini tetapi secara berhemahlah, bukan sesuka hati...merotan itu bukan sewenang-wenangnya. Ia perlu dijalankan secara profesional dan setelah berkali-kali amaran dikeluarkan. Kalau bimbingan dan pendekatan psikologi masih tak jalan barulah rotan - Presiden NUTP

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Dr. Abdul Hamid Othman berpendapat adalah wajar memukul sebagai satu hukuman terhadap salah laku kanak-kanak dan ini dibenarkan sendiri dalam Islam kerana ia adalah kaedah pengajaran yang berkesan. Beliau juga berpendapat ibu bapa sepatutnya memberi sedikit kelonggaran kepada guru untuk memukul anak mereka yang melakukan kesalahan bagi membentuk displin dan keperibadian mereka. 

Hal ini kerana apabila seseorang pelajar menerima hukuman seperti rotan, pelajar tersebut akan merasa sakit dan serik untuk melanggar peraturan sekolah lagi. Manakala pelajar-pelajar lain yang melihat hukuman ini dijalankan juga akan merasa ngeri untuk melakukan kesalahan tersebut. Oleh itu masalah pelanggaran displin dapat diatasi.

Hukuman merotan dari sudut pandangan Islam?
#Akan dikupas dalam entri yang lain, Insya Allah.


Sumber:
  1. http://m.utusan.com.my/berita/nasional/hukuman-rotan-pelajar-dilaksana-2017-1.321661
  2. http://www.sinarharian.com.my/nasional/hukuman-rotan-di-sekolah-masih-relevan-1.377202
  3. http://gurucakna.blogspot.my/2012/09/isu-1-guru-merotan-murid-oleh-mohd-azri.html
  4. http://perkhidmatanpelajaran.blogspot.my/2008/07/selatan-jpns-siasat-guru-rotan-pelajar.html
  5. http://www.moe.gov.my/upload/galeri_awam/pekeliling/2008_BTMK_135_6910_8325.pdf
  6. http://www.tv14.my/2016/05/12/hukuman-rotan-dibenarkan-jika-ikut-garis-panduan/

Terima kasih daun keladi

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...