Showing posts with label Kemahiran Mengeja. Show all posts
Showing posts with label Kemahiran Mengeja. Show all posts

Aktiviti P&P Untuk Meningkatkan Kemahiran Mengeja : KAEDAH IMLAK

Aktiviti LARI & TULIS (Running Dictation)  

Untuk meningkatkan kemahiran mengeja murid-murid pemulihan, antara aktiviti yang sering saya jalankan adalah imlak perkataan dan ayat. Selalunya saya akan sebut perkataan dan ayat, kemudian murid akan menulisnya di papan putih, di kertas kosong atau di buku latihan. Saya akan jalankan aktiviti ini dalam kumpulan kecil atau berpasangan dalam bentuk permainan, pertandingan antara kumpulan yang juga merupakan sebahagian aktiviti didik hibur. Selepas itu saya akan adakan ujian ejaan secara individu. Murid seronok belajar dan lebih mudah mengingat ejaan perkataan yang diajar.

Aktiviti mengimlak perkataan yang disebut rakan

Kamus Dewan Edisi Empat mentakrifkan imlak sebagai perbuatan menyebut perkataan (ayat dll) supaya ditulis oleh orang lain atau sesuatu yang dikatakan atau dibaca supaya ditulis oleh orang lain. Makna yang setara dengan imlak dalam Bahasa Inggeris ialah dictation

Aktiviti mengimlak akan lebih berkesan jika ia dijalankan secara berpusatkan murid iaitu murid adalah pengimlak (Dictator). Aktiviti mengimlak ini berkesan kerana beberapa sebab iaitu:

  • Boleh dilakukan untuk semua tahap penguasaan murid, bergantung kepada teks yang digunakan. Murid boleh mengimlak perkataan, frasa, ayat atau pun petikan cerita.
  • Boleh dipelbagaikan aras untuk kelas yang mempunyai murid pelbagai aras kecerdasan. Contohnya, murid lemah diberikan kertas yang mengandungi separuh jawapan (isi tempat kosong) manakala murid normal diberikan kertas kosong.
  • Persiapan bahan yang sedikit.
  • Boleh meningkatkan 4 kemahiran secara serentak iaitu membaca, mendengar, mengeja dan menulis.


Cadangan Aktiviti Mengimlak (Berpusatkan Murid)


Aktiviti 1

Sediakan teks ayat yang telah dipotong dan beri satu baris kepada setiap murid. Mereka perlu bergilir-gilir mengimlak ayat sementara murid yang lain mendengar dan menulisnya ke dalam buku atau kertas. Kemudian berikan murid teks penuh untuk dibandingkan dengan jawapan mereka.


Aktiviti 2

Bahagikan kelas kepada pasangan. Murid memilih ‘runner’ dan ‘writer’. Tampal teks yang hendak diimlak ke dinding kelas. ‘Runner’ perlu pergi kepada teks dan menghafal baris pertama kemudian kembali kepada pasangan atau pun ‘writer’. ‘Runner’ pergi kepada teks dan berpatah balik kepada pasangan sehinggalah semua teks telah diimlak. Peranan ‘runner’ dan ‘writer’ boleh ditukar apabila separuh teks telah diimlak. Teks yang telah selesai diimlak kemudian disemak berpandukan teks penuh. Aktiviti ini sebaiknya menggunakan teks pendek sahaja.


Aktiviti 3

Guru menjadi pengimlak tetapi murid dibenarkan mengawal kelajuan perkataan atau ayat yang disebut guru. Guru juga perlu melakukan pengulangan beberapa kali. Dalam aktiviti ini guru berlakon sebagai ‘tape recorder’. Murid boleh ‘Stop’, ‘Rewind’, ‘Play’, ‘Decrease speed’ dan sebagainya.



Contoh teks imlak untuk murid lemah atau pemulihan

Running Dictation - Murid bersedia bersama pasangan masing-masing.
Masa diberikan tidak melebihi 5 minit. (Sumber: google)


Sumber:
Pusat Rujukan Persuratan Melayu - http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=imlak
http://mw1.merriam-webster.com/dictionary/dictation


Terima Kasih

Memahami Konsep Ejaan dan Mengeja



Konsep ejaan dan mengeja perlu mendapat perhatian istimewa guru bahasa Melayu yang mengajarkan bacaan permulaan.

Guru prasekolah, guru bahasa Melayu dan guru pemulihan perlu menyemak pemahaman mereka tentang konsep ejaan dan mengeja. Guru pemulihan termasuklah guru pemulihan khas, guru pemulihan dalam bilik darjah, guru Literacy and Numeracy Screening (LINUS) dan beberapa nama lain yang mungkin muncul pada masa hadapan. Pemahaman yang jelas tentang kedua-dua konsep ini dapat membantu mereka melaksanakan tugas untuk mengajarkan bacaan permulaan kepada kanak-kanak dengan berkesan. 




Terima Kasih

Punca - Punca Murid Lemah Mengeja

Artikel yang saya tulis ini saya dapat melalui pembacaan. Buku tersebut bertajuk Kaedah dan Strategi Pengajaran kanak-Kanak Berkeperluan Khas, Mohd Zuri Ghani & Aznan Che Ahmad, Penerbit USM Pulau Pinang, 2011.

Walaupun ia ditulis khusus untuk murid-murid berkeperluan Khas, tetapi saya rasa ia juga sesuai dipraktikkan untuk murid-murid  Program Pemulihan Khas.

Apa yang dimaksudkan dengan ejaan dan mengeja secara terperinci boleh dibaca pada entry saya sebelum ini DI SINI.


APA ITU EJAAN?

Ejaan adalah satu bentuk pelaziman melalui penulisan. Ia mempunyai 26 huruf atau abjad roman dan mengandungi lebih daripada 40 fonik.


SIAPA MURID YANG BERMASALAH DALAM EJAAN?

Murid-murid yang sering mengalami masalah dalam ejaan terdiri daripada murid disleksia, murid yang mengalami masalah pendengaran dan pertuturan (sumbing, gagap, masalah artikulasi dan masalah suara). Murid-murid ini tidak mahir dalam ejaan bukan kerana mereka MALAS belajar tetapi kerana mereka mempunyai masalah dalam menyebut perkataan tersebut. Contohnya murid disleksia sering melihat huruf dengan terbalik. Oleh itu, murid sering meghadapai masalah dalam ejaan.


PUNCA-PUNCA MURID LEMAH DALAM EJAAN

1. Lemah dalam pengamatan penglihatan atau visual.

Pengamatan bermaksud hasil tindakbalas keseluruhan sistem deria setelah menerima rangsangan daripada sumber lain. 

Pengamatan visual pula berkait dengan keupayaan deria penglihatan untuk menerima rangsangan dan seterusnya menghantar maklumat tersebut ke otak untuk ditafsirkan. Jika pengamatan penglihatan murid menghadapi masalah, maka perkataan atau huruf-huruf yang dilihat murid akan mengalami kesalahan dan kesilapan. Contohnya, jika murid membaca secara songsang dari belakang ke depan, murid akan keliru dan akan menyebabkan kemahiran membaca murid semakin lemah dan teruk.

Contoh: Makan dibaca sebagai nakaM


2. Tidak dapat mengingati dan membayangkan bentuk sebenar sesuatu huruf atau perkataan.

Murid tidak dapat mengecam bentuk huruf dan perkataan. Terdapat beberapa huruf yang kelihatan seakan-akan sama walaupun bunyinya adalah berbeza.

Bagi murid disleksia, masalah yang dihadapi dalam mengecam bentuk huruf dan konfigurasi perkataan sangat ketara. Simbol-simbol perkataan yang bercetak sukar diterjemahkan. Murid melihat abjad-abjad tertentu atau sebahagian perkataan secara terbalik. Kekeliruan inilah yang menyebabkan murid sangat lemah dalam kemahiran mengeja.

Contoh: Keliru membezakan huruf "b" dan "d", huruf "p" dan "q".


3. Masalah memori auditori dan visual.

Murid menghadapi masalah untuk mengingati bunyi dan suku kata. Mereka sering memerlukan arahan yang jelas dan mudah bagi membantu mereka mengenal pasti bunyi sesuatu perkataan dan membina kemahiran fonologi. Murid yang menguasai kemahiran ejaan dengan baik akan menyimpan perkataan dalam memori dan mengingat kembali perkataan tersebut tanpa memerlukan petunjuk visual. Manakala murid yang lemah dalam ejaan amat memerlukan latihan dan aktiviti untuk menguatkan ingatan visual.


4. Lemah dari segi Analisis pendengaran.

Murid sukar mengingat bunyi abjad, bunyi suku kata perkataan dan juga sukar menyusun atau menggabungkan suku kata bagi membunyikan perkataan. Murid juga tidak dapat mengaitkan bunyi huruf dengan huruf yang dilihat disebabkan kurang pendengaran.

Contoh: Sukar membezakan bunyi huruf vokal dan huruf konsonan.


5. Sebutan huruf yang salah.

Murid menyebut nama huruf dalam 'telo' bahasa ibunda atau 'loghat' daerah. Selain itu, murid menghadapi masalah dalam sebutan huruf "e" pepet dan "e" taling.

Contoh: "Makan" disebut "make", "perang" ( peperangan) disebut "perang" (warna).

***

Terima Kasih

Apa itu Ejaan dan Mengeja?





Berdasarkan buku yang saya baca iaitu Kaedah dan Strategi Pengajaran kanak-Kanak Berkeperluan Khas yang ditulis oleh Mohd Zuri Ghani dan Aznan Che Ahmad, ia menyatakan bahawa kanak-kanak lebih cenderung membaca daripada mengeja. Ini menunjukkan bahawa mengeja suku kata adalah lebih sukar berbanding membaca perkataan.  Hal ini kerana ejaan adalah kaedah yang terlalu kompleks untuk dipelajari oleh kanak-kanak. Tambahan pula membaca hanya melibatkan proses menafsirkan kod dengan jalinan perkataan sedangkan mengeja adalah proses mengeluarkan kod dengan peka dan betul.


EJAAN DAN MENGEJA : APAKAH MAKSUDNYA? 

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005),  

Ejaan ialah kaedah atau cara menulis perkataan dengan  huruf.  
Mengeja ialah perbuatan membunyikan (menulis) huruf-huruf secara berturut-turut dalam sesuatu perkataan. 

CARA UNTUK MENGEJA

Terdapat dua cara untuk mengeja iaitu;
  1. Menyebut nama huruf secara berturut-turut yang terdapat pada sesuatu suku kata atau perkataan dan membunyikan suka kata/perkataan itu. 
  2. Menulis huruf untuk membentuk suku kata atau perkataan.

CARA MENYEBUT HURUF

Terdapat dua cara menyebut huruf untuk menjadi suku kata dan perkataan;
  1. Menyebut huruf dalam perkataan itu satu demi satu tanpa hentian dan tanpa menyebut suku kata dalam perkataan itu. Misalnya, “bola” dieja b – o – l – a. Gambaran ringkasnya ialah huruf → perkataan.
  2. Menyebut huruf, diikuti dengan penyebutan suku kata dan seterusnya menyebut perkataan. Contohnya, “bola” dieja “b” “o”, diikuti penyebutan suku kata “bo”. Seterusnya disebut pula nama huruf  “l” “a”, diikuti dengan penyebutan suku kata “la”. Akhirnya disebut perkataan “bola”. Gambaran ringkasnya ialah huruf → suku kata → perkataan.

KAEDAH PENGAJARAN KEMAHIRAN EJAAN

Terdapat beberapa kaedah pengajaran mengajar kemahiran mengeja;

  • Kaedah Abjad
Berdasarkan kaedah abjad, murid menyebut nama huruf. Bagi mengeja dengan abjad Rumi, cara yang kedua kerap digunakan. Hal ini kerana cara yang pertama dianggap tidak lengkap.
  • Kaedah Fonik dan Fonetik
Ia merupakan kaedah bunyi sebutan dalam suku kata dan menggabungkannya dengan suku kata yang lain.
  • Kaedah Elektik
Ia merupakan kaedah campuran yang menggabungkan pendekatan binaan dan cerakinan.
  • Kaedah Suku Kata
Pengajaran dimulakan dengan suku kata yang asas iaitu KV, KVK, KVKK. Murid akan ditekankan dengan kemahiran membatang suku kata.

Berdasarkan pengalaman saya sebagai Guru Pemulihan Khas, murid-murid pemulihan khas sering mengeja sesuatu perkataan terlebih dahulu sebelum dapat menyebut perkataan tersebut. Ia seolah-olah seperti sudah menjadi kelaziman mereka semasa membaca. Pada fikiran saya, apabila murid mengeja perkataan sebelum membaca, maksudnya murid belum lancar membaca. Saya selalu menyarankan murid-murid supaya mengeja perkataan jika perlu sahaja dan menyebut terus perkataan jika perkataan tersebut telah biasa dijumpai atau dibaca.

Terima Kasih