Showing posts with label Pengajaran dan Pembelajaran. Show all posts
Showing posts with label Pengajaran dan Pembelajaran. Show all posts

Digraf dan Konsonan Bergabung

Digraf

Digraf ialah dua huruf konsonan (selain a, e, i, o, u) yang hadir secara berturut-turut yang menghasilkan satu bunyi dalam perkataan.
Dalam data kami, digraf sama dengan konsonan berganding, iaitu dua huruf berturut-turut yang mewakili satu bunyi seperti ng, ny dan sy, atau disebut juga dwihuruf, dwi­lambang dan huruf rangkap - Pusat Rujukan Persuratan Melayu, DBP

Digraf dikenali juga sebagai dwihuruf, dwilambang atau huruf rangkap. Dalam Bahasa Melayu, terdapat lima dwihuruf berbeza untuk konsonan:
  1. gh mewakili /ɣ/ (geseran velar bersuara) - dipinjam dari bahasa Arab, contohnya: ghairah, Afghan dan baligh.
  2. kh mewakili /x/ (geseran velar tak bersuara) - dipinjam dari bahasa Arab, contohnya: khidmat, akhbar dan tarikh.
  3. ng mewakili /ŋ/ (sengauan velar)
  4. ny mewakili /ɲ/ (sengauan lelangit)
  5. sy mewakili /ʃ/ (geseran belakang gusi tak bersuara)

Contoh perkataan digraf:
ng - nganga, bunga, singa
ny - nyamuk, nyanyi, nyala
kh - khabar, khas, khamis
sy - syampu, syabas, syarikat
gh - ghazal, ghairah, ghaib








Konsonan Bergabung 

Konsonan bergabung atau konsonan rangkap pula ialah gabungan 2 huruf konsonan yang hadir secara berturutan dalam satu perkataan dan kedua-dua konsonan itu terpisah dalam suku kata yang berlainan. Perkataan yang mengandungi konsonan bergabung kebanyakannya adalah perkataan pinjaman daripada Bahasa Inggeris.

Contoh perkataan konsonan bergabung:
kompleks, konkrit, skuter, traktor, drama, teks, stadium, strawberi




*dikemaskini pada 9.2.2017


Terima Kasih

Diftong dan Vokal Berganding

Diftong

Apabila wujud dua huruf vokal (a,e,i,o,u) yang duduk bersebelahan dalam perkataan dan disebut dalam satu suku kata atau satu sebutan bunyi. Diftong dieja dengan gabungan dua huruf vokal yang dilafazkan sebagai bunyi luncuran iaitu bunyi vokal yang pertama menggeluncur ke bunyi vokal yang kedua. Sebutan bunyi vokal yang pertama adalah lebih lantang (kuat) berbanding bunyi yang kedua.

Dalam Bahasa Melayu, terdapat tiga jenis huruf diftong yang dieja dengan gabungan huruf vokal iaitu;
  1. ai
  2. au
  3. oi
Secara lebih terperinci, diftong ialah:
  1. Gabungan dua bunyi vokal yang dilafazkan secara berterusan dalam satu hembusan nafas. 
  2. Terhasil apabila bunyi satu vokal menggeluncur dengan cepatnya ke suatu vokal lain. 
  3. Ia dianggap sebagai satu suku kata, dan dilambangkan oleh dua vokal tetapi bertindak sebagai satu fonem. Ertinya, lidah pada mulanya diletakkan pada keadaan sebagaimana membunyikan sesuatu vokal, kemudian digeluncurkan ke arah membunyikan vokal yang lain. 
  4. Terdapat tiga jenis diftong iaitu ai, au, dan oi. 
  5. Untuk menghasilkan bunyi diftong ai, lidah berkeadaan sebagaimana membunyikan vokal “a”, dan secara cepat geluncurkan lidah ke arah membunyikan vokal “i” pula. Begitu juga cara membunyikan diftong au, dan oi. 
Contoh perkataan diftong

ai - gulai, balai, tapai, tembikai, sidai, keldai, kedai, gerai, buai, cuai, misai, petai, pantai, lantai, rantai, teratai, sungai

au - aurat, saudara, harimau, wau, pulau, surau, kerbau, pisau, limau, hijau, bangau

oi - boikot, sekoi, koboi, kaloi, amboi, 






Vokal berganding (Vokal Rangkap)

Apabila wujud dua huruf vokal (a,e,i,o,u) yang duduk bersebelahan dalam perkataan, tetapi terpisah sebutan bunyinya dalam suku kata.






Secara ringkas diftong - vokal berganding:

Diftong
Dibaca sebagai satu suku kata dan dilafazkan dengan cepat. 

Kedai = ke+dai
pulau = pu+lau
amboi = am+boi

Vokal berganding
Perlu dibaca secara berasingan sebagai dua suku kata.

baik = ba+ik
kaum = ka+um
liar = li+ar 
luas = lu+as


*dikemaskini pada 9.2.2017

Sumber:

  1. http://rasfarina72.blogspot.com/2014/02/diftong-vokal-berganding-digraf-dan.html
  2. http://cikgupenmerah.blogspot.com/2012/05/apa-itu-vokal-berganding-dan-diftong.html
  3. http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/2012/12/diftong-dan-vokal-berganding.html

Terima Kasih

Aktiviti MEMBACA LANTANG dapat meningkatkan motivasi kanak-kanak untuk menguasai kemahiran membaca

Sekiranya guru ingin menjadikan proses pengajaran membaca sebagai landasan menanamkan tabiat gemar membaca, guru perlulah membaca secara lantang kepada anak-anak murid setiap hari dengan sekurang-kurangnya satu tajuk bahan kesusasteraan. 

Aktiviti membaca lantang (read aloud) bukan satu pengajaran pemahaman bacaan tetapi lebih kepada aktiviti atau sesi tambahan untuk meningkatkan motivasi kanak-kanak terhadap pengajaran literasi.


Aktiviti membaca lantang


Apa itu bacaan lantang?
  • Bacaan daripada pihak guru kepada kanak-kanak yang belum boleh membaca
  • Kanak-kanak menjadi pendengar dan respon kepada bacaan guru
  • Sesuai dijalankan kepada kanak-kanak yang belum boleh membaca
  • Apa yang guru baca dengan kanak-kanak perlu dirancang terlebih dahulu
  • Teks yang dibaca itu tidak semestinya kanak-kanak tahu dan faham
  • Guru berinteraksi dengan kanak-kanak

Bilakah bacaan lantang boleh dilakukan?
  • Permulaan kelas atau di akhir pembelajaran sekolah selama 5-10 minit
  • Sementara menunggu aktiviti lain
  • Sebagai aktiviti tambahan /aktiviti sampingan 

Apakah kepentingan membaca lantang?
  1. Memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak
  2. Meningkatkan asas kosa kata/perbendaharaan kata
  3. Meningkatkan daya ingatan dan kemahiran membaca
  4. Mendapatkan maklumat mengenai dunia sekeliling mereka
  5. Meningkatkan motivasi kanak-kanak terhadap pengajaran literasi

Bagaimana pelaksanaannya?

SEBELUM
  • Cari buku yang sesuai dengan kefahaman kanak-kanak
  • Pastikan guru faham jalan cerita yang hendak dibaca

SEMASA
  • Duduk, ambil sekumpulan kanak-kanak (jangan terlampau ramai)
  • Pegang buku ke hadapan

Buku dipegang ke hadapan kanak-kanak

  • Mulakan suara dengan kuat
  • Pastikan murid-murid diam
  • Baca dengan ekspresi muka dan bersungguh-sungguh
  • Tukar nada suara dengan setiap watak yang berbeza

SELEPAS
  • Sesi soal jawab seperti kefahaman jalan cerita - kenapa dan bagaimana jalan cerita tersebut terjadi
  • Ulang balik cerita atau ceritakan semula secara sekali imbas


Sumber rujukan
  1. http://kidsloveus.blogspot.com/2012/02/bacaan-lantang-untuk-kanak-kanak.html
  2. Pendidikan Literasi Awal Kanak-Kanak Teori dan Amali, Mahzan Arshad, Penerbit UPSI, 2012

Buku rujukan


Terima Kasih

Didik Hibur atau Fun Learning dalam Pengajaran dan Pembelajaran

Istilah didik hibur atau 'fun learning' diperkenalkan seiring dengan pelaksanaan KSSR pada tahun 2010. Ia merupakan satu pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran. Aktiviti didik hibur boleh dilaksanakan semasa melaksanakan set induksi atau semasa penutup sesi PdP.
Singkatan bagi Pengajaran dan Pembelajaran; P&P/PnP kini telah digantikan dengan PdP ( sebut P, d, P)


Definisi
Didik Hibur bemaksud mendidik sambil menghibur. Kamus Dewan (2000) mentakrifkan didik sebagai pelihara, jaga dengan hati-hati dan ajar, manakala hibur bermaksud menyenangkan atau menggirangkan hati.

Rumusannya didik hibur merupakan satu pendekatan dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang bersifat santai dan berhibur seperti permainan, nyanyian, bercerita, lakonan dan puisi secara sistematik dan terancang.


Pengenalan
Didik hibur adalah pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang menyeronokkan murid-murid. Walaupun murid seronok tetapi objektif pengajaran dan pembelajaran masih dapat dicapai seperti yang ditetapkan. Oleh itu, guru perlu merancang pengajaran dan pembelajaran agar isi kandungan mata pelajaran dapat disampaikan dengan berkesan.


Bercerita - contoh didik hibur
Latar Belakang Didik Hibur 

Cadangan pelaksanaan penyerapan pendekatan didik hibur dalam pengajaran bermula apabila keputusan kabinet pada 8 Julai 2009 yang memutuskan bahawa PPSMI dimansuhkan dengan mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan, manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil menjelang tahun 2012.

Kerajaan berhasrat memperkenalkan pendekatan didik hibur di sekolah rendah untuk merealisasikan hasrat transformasi pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Adalah diharapkan pendekatan didik hibur dalam bilik darjah akan menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih interaktif serta berpusatkan murid. Justeru pengajaran guru akan lebih mudah dihayati dan difahami oleh murid.
 
Ciri-Ciri Didik Hibur
Antara ciri-ciri didik hibur dalam pengajaran adalah seperti berikut:

(i)     Sesi pembelajaran yang menyeronokkan kerana terkandung unsur kelakar, kecindan, ada unsur estetik, permainan muzik, lakonan dan sebagainya.

(ii)     Mengurangkan tahap kebimbangan dan ketakutan murid kepada guru. Seperti yang dijelaskan sebelum ini didik hibur berkonsepkan santai dan berhibur.

(iii)     Murid-murid sentiasa berada dalam keadaan pembelajaran yang positif, gembira dan tertunggu-tunggu untuk melalui sesi pembelajaran pada hari berikutnya.

(iv)    Sesi pembelajaran yang penuh dengan pelbagai aktiviti yang menarik dan  pelbagai. Menerusi aktiviti nyanyian dan lakonan umpamanya, murid-murid boleh main peranan dengan menyertai aktiviti tersebut sambil berhibur. Yang penting, arahan guru perlu jelas dan ringkas di samping penggunaan ICT dan BBM untuk menarik penglibatan murid terhadap pengajaran dan pembelajaran.

(v)     Objektif aktiviti cenderung kepada pelbagai cara penyelesaian masalah dan kepelbagaian cara persembahan yang tiada unsur kalah atau menang, tiada ganjaran atau dendaan serta latihan dan penggunaannya menjurus kepada aktiviti p&p.

(vi)    Salah atau tidak bukan matlamat aktiviti didik hibur, tetapi yang penting berjaya melibatkan seramai mungkin murid dan aktivitinya bersahaja dan santai.

(vii)    Aktiviti yang dipilih lebih menjurus kepada aktiviti berkumpulan atau berpasangan supaya wujud semangat kerja berpasukan, kerjasama dan toleransi.

(viii)    Murid bebas bersuara, mengeluarkan pendapat dan idea secara logik  dalam keadaan terkawal untuk memberikan satu persembahan yang menarik.

(ix)      Murid bebas untuk bergerak, berlakon, menyanyi dan sebagainya dalam keadaan terkawal.

(x)       Aktiviti didik hibur banyak menggunakan komunikasi melalui bahasa tubuh.

Faktor Yang Mempengaruhi Pelaksanaan Didik Hibur : Guru

Kejayaan sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran itu adalah terletak kepada kebijaksanaan guru sebagai pengurus dan perancang pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Sebagai guru, beberapa perkara berikut perlu dipatuhi, iaitu:

( i )   Perwatakan guru yang menarik, kecindan, tidak menakut atau menggerunkan murid

( ii )  Bahasa yang digunakan sesuai dengan tahap murid.

(iii)   Guru tidak menjatuhkan air muka atau memalukan murid di khalayak.

(iv)   Guru seorang pengurus atau penganjur aktiviti yang baik.

(v)    Sepatutnya guru boleh melakonkan pelbagai watak dalam pelbagai aktiviti.

(vi)   Guru boleh membuat pelbagai suara.

(vii)   Boleh memberi arahan dengan tepat dan menarik.

(viii)  Seorang yang prihatin dan peka serta tajam daya pemerhatian.

(ix)   Guru berkebolehan menukar atau melakukan penyesuaian mendadak

(x)   Guru atau fasilitator seorang yang fleksibel



Aktiviti Didik Hibur
Kejayaan didik hibur secara kerkesan bergantung kepada aktiviti yang dirancang. Walau bagaimanapun terdapat beberapa ciri yang perlu diambil kira oleh guru semasa merancang aktiviti didik hibur dalam bilik darjah, iaitu:
 
( i )   Aktiviti perlu disesuaikan dengan tahap murid yang hendak diajar.

( ii )   Jalankan aktiviti yang murid-murid sedia ketahui berdasarkan silang budaya yang sama.

( iii )  Penyerapan didik hibur memerlukan tempoh pelaksanaan dan peruntukan masa pembelajaran yang sesuai atau waktu yang fleksibel.

( iv )  Aktiviti didik hibur boleh dilaksana, dijalan dan diselesaikan bersama murid-murid tanpa ada banyak masalah atau halangan.

( v )  Aktiviti yang dipilih tidak menjurus ke arah permusuhan atau konflik antara murid.

( vi )  Sediakan peraturan yang jelas, senang, mudah difahami atau diikuti oleh murid.

( vii ) Aktiviti didik hibur yang dirancang juga perlu memberikan kepuasan kepada mereka yang menyertainya, serta boleh disertai seramai mungkin murid.



Penutup
Pada dasarnya amalan penyerapan didik hibur bukanlah perkara yang baru dalam siri pendidikan negara. Untuk tujuan penegasan istilah didik hibur digunakan secara jelas sebagai komitmen yang bersungguh-sungguh kerajaan untuk mengaplikasikan pendekatan ini yang diadaptasikan menerusi pendekatan ‘Fun Learning’ yang digunakan secara meluas dalam pengajaran dan pembelajaran



Artikel ini saya salin daripada portal KSSR yang ditulis oleh Dr . Zailah Zainudin, IPG Kampus Raja Melewar


Terima Kasih