Semakan Semula SBPA Selepas Ia ditangguhkan

Berita Harian
2012/01/14

MELIHAT pada pelbagai masalah yang dibangkitkan kakitangan awam pada peringkat awal pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), memang wajarlah ia disemak semula bagi membolehkan penambahbaikan dilakukan. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa hampir keseluruhan kakitangan perkhidmatan awam kurang berpuas hati dengan SBPA, khususnya berhubung kenaikan struktur gaji yang mengandungi banyak kekeliruan. Malah ada kakitangan awam yang mendakwa ketua jabatan tidak faham serta tidak dapat memberikan penjelasan berhubung kemusykilan yang dikemukakan ketika sesi taklimat. Kita berharap semua pihak menerima baik keputusan terbaharu kerajaan ini untuk manfaat 1.4 juta kakitangan awam yang memilih SBPA. Langkah selanjutnya ialah di antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) untuk memperincikan butiran mengenai peralihan gaji yang menjadi rungutan kumpulan tertentu, sehingga ada yang mendakwa menerima kenaikan terlalu rendah dalam skim baru itu. Penjawat awam sebelum ini diberi tempoh 15 hari mulai 16 Disember lalu bagi membuat pilihan sama ada memilih SBPA atau kekal dalam skim perkhidmatan lama.

Tempoh singkat itu menyebabkan kakitangan kerajaan yang tidak memahami dengan jelas skim yang ditawarkan itu dikehendaki menandatangani borang opsyen sebelum 30 Disember 2011, tidak dapat membezakan manfaat yang diperoleh di antara skim lama, Sistem Saraan Malaysia (SSM) dan SBPA. Tempoh penerimaan opsyen kemudian dilanjutkan sehingga 15 Januari 2012. Menyedari masalah yang dihadapi kakitangan awam inilah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin mengumumkan keputusan Kabinet yang mahukan SBPA disemak semula, supaya perbincangan boleh diadakan dengan pihak berkaitan. Mekanisme semakan semula itu yang ditentukan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Sidek Hassan, bertujuan menyelesaikan isu yang dibangkitkan oleh pihak tertentu berkaitan pelaksanaan SBPA. Apapun, kakitangan awam tidak perlu bimbang kerana skim baru itu akan tetap dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2012 selepas semakan semula dimuktamadkan. Apa yang penting ialah JPA dan CUEPACS perlu merumuskan mekanisme terbaik dalam SBPA supaya semua pihak berpuas hati dan skim gaji baru ini dapat dilaksanakan dengan baik serta tidak merugikan mana-mana pihak.

Terima Kasih Atas Sokongan Anda