Wakil Guru Dilibatkan Dalam Perbincangan SBPA


 
Utusan Malaysia
15/01/2012 12:17am

SHAH ALAM 14 Jan. – Majlis Permuafakatan Kesatuan Persatuan Guru (MPKPG) yang mewakili kira-kira 430,000 guru di seluruh negara meminta agar dilibatkan secara menyeluruh dalam perbincangan semakan semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Pengerusinya, Jemale Paiman berkata, skim itu banyak memberi kesan kepada guru terutama dalam kenaikan gaji dan laluan kerjaya.

Skim itu juga dilihat turut meminggirkan guru senior dalam perjawatan dan tidak mementingkan faktor pengalaman dan kemahiran dalam bidang tugas serta tanggungjawab mereka, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri taklimat mesyuarat mengenai SBPA bagi perkhidmatan pendidikan bersama presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri pemimpin dari 26 kesatuan dan persatuan guru Kementerian Pelajaran. Pada majlis itu MPKPG turut menyerahkan memorandum kepada Omar berhubung cadangan penambahbaikan pelaksanaan SBPA bagi perkhidmatan pendidikan. – BERNAMA