Guru Pemulihan Dan Guru Ganti/Relief Seperti Tidak Dapat Dipisahkan

Tahun 2013 sudah membuka tirainya. Sesi persekolahan 2013 juga telah bermula hari ini bagi negeri-negeri selain kelantan, Kedah dan Terengganu.

Seawal tahun 2013, saya sudah pun menjadi guru ganti! 

Tugas saya sebagai Guru Pemulihan terpaksa ditangguhkan dahulu bagi melunaskan tugas sebagai guru ganti kepada seorang guru (guru A) yang dipindahkan ke prasekolah. Guru prasekolah sebelumnya (guru B) menerima arahan berpindah sekolah pada saat-saat akhir ke sekolah lain kerana sekolah saya terdapat lebihan guru beropsyen prasekolah. Maka, entah di mana pertimbangannya, saya (guru C), dengan rendah hati memegang kepada frasa " saya yang menurut perintah", menerima tugas menggantikan guru A (ambil jadual guru A sepenuhnya).

Guru A mengajar Bahasa Malaysia tahun 1, maka saya terlibat dengan Program Transisi Tahun 1 selama lebih kurang 3 minggu. Harap-harapnya saya tidaklah perlu menjadi guru ganti/guru relief sejauh itu kerana kemungkinan besar akan datang seorang guru baru ke sekolah saya bagi menggantikan tempat guru A .

Buat masa ini saya mengambil pendekatan berlapang dada dan menerimanya dengan positif walaupun sejak saya menjadi GPK bermula 2011, saya dan guru ganti seperti tidak dapat dipisahkan....!


Sekadar hiasan