Portal PPI - RPI | Rancangan Pendidikan Individu & Pelan Pendidikan Individu

Jom buat RPI! Kalau bahan bantu mengajar banyak dan cantik...tapi perancangannya dan diagnosis tidak tepat, intervensi tidak akan berkesan.
 

Maklumat tentang Portal PPI - RPI ini saya perolehi di Facebook Guru Pemulihan Khas Group dan PPI - RPI Group untuk dikongsikan di sini dan juga sebagai rujukan untuk diri saya sendiri.

Portal RPI ini adalah inovasi dan pembestarian dlm pendidikan khas dan pemulihan. Sebanyak 88 buah sekolah bestari telah lama menggunakan RPH online di seluruh negara. 


Bagaimana cara nak login?

Login ID: Kod Sekolah (Huruf besar)
Password: 123 (boleh ditukar selepas login)


Saya dah login, step seterusnya apa perlu buat, tiada user guideline ker??

Ada manual pada Fungsi Khas dalam Portal. 


Apa yang perlu saya buat? Secara ringkas....
  • Bagi guru pemulihan, cuma isi PPI1 hingga PPI 4. 
  • Isi PPI 1 hingga PPI 4 bg guru pemulihan dan sila klik bulat kecil berhuruf i utk info. 
  • PPI 3 adalah utk melaporkan kekuatan dan kelemahan murid dlm subjek BM/Matematik.
  • PPI 4 adalah utk menulis Matlamat.
  • Seterusnya di bawah Matlamat adalah pemulisan objektif pembelajaran.
  • Apa yg dikey in pd PPI4 secara automatik akan menjadi RPT. 
  • Dari sini Cikgu sudah boleh klik PII utk mengedit RPT dgn mengelompokkan murid mengikut tahap keupayaan.
  • Hasilnya nanti, RPH cikgu akan mengikut kumpulan murid yg telah dibentuk mengikut tahap keupayaan.   
  • Sekiranya murid cikgu adalah murid LINUS tegar, maka dgn mengisi Portal RPI ini akan memudahkan proses seterusnya utk disahkan oleh pengamal perubatan. Segala rekod dan maklumat pencapaian telah ada, hanya menunggu utk dicetak sahaja. 

RPH ni boleh di print out ker then tampal dalam buku rancangan mengajar??

Ianya boleh diprint dan ditampalkan dalam buku rekod atau letakkan dalam fail kerana ianya tidak menyalahi SPI Bil.3/1999 berkenaan buku Rekod Pengajaran dan Pembelajaran . Sila rujuk pekeliling ini di bahagian depan buku rekod cikgu.


Wajibkah buat benda ni...sudah ada surat pekeliling???

(Ini bukan jawapan saya tetapi jawapan yang saya peroleh daripada https://www.facebook.com/suraya.zathu).

Memang benar , belum ada siaran tentang penggunaan RPI kepada guru pemulihan di seluruh negara. Saya kongsi portal ini untuk makluman guru-guru pemulihan sebagai salah satu alternatif untuk membantu guru-guru dalam menyediakan perancangan intervensi yang lebih tepat bagi murid-murid pemulihan/LINUS/LINUS TEGAR.

Saya sering mengikuti post-post dalam FB oleh guru-guru pemulihan di seluruh negara. Antara lain yang saya dapati guru-guru pemulihan seolah-olah tercari-cari bentuk RPT untuk pemulihan/LINUS/LINUS TEGAR.

Pada pandangan saya setiap murid keperluannya berbeza, sudah semestinya RPT mereka tidak sama. Keadaan yang diperlihatkan seolah-olah 1 RPT yang sama boleh memenuhi keperluan mengatasi masalah penguasaan Literasi dan Numerasi untuk semua murid tersebut.

Oleh itu, Portal RPI dicadangkan untuk membantu guru-guru dalam mengatasi masalah yg tersebut di atas. Dalam Portal ini memerlukan guru mengenalpasti kawasan kelemahan dan kekuatan murid melalui ujian Diagnostik. Bertolak dari kawasan kelemahan murid, perancangan intervensi akan dibuat. Matlamat akan ditentukan seterusnya penyediaan objektif pembelajaran murid dibina secara berperingkat dari aras mudah ke aras yang lebih sukar.

Izinkan saya berkongsi pengalaman, kaedah mengajar murid pemulihan/Linus/Linus Tegar tiada bezanya dengan mengajar murid-murid berkeperluan khas. Yang bezanya , guru pemulihan mengajar murid-murid normal yang tiada masalah kecacatan yang disebabkan oleh faktor biologi dan mengajar subjek BM dan Matematik. Manakala guru pendidikan khas mengajar pelbagai subjek di kelas pendidikan khas.

Murid-murid yang ditempatkan di Program Pendidikan Khas atau di Kelas Pemulihan/Linus/Linus Tegar adalah golongan murid yang telah dikenalpasti mempunyai halangan-halangan tertentu dalam pembelajaran. Sudah sewajarnya, cara mereka diintervensi adalah tidak sama dengan yang dilaksanakan di aliran perdana kerana mereka memerlukan khidmat pakar guru-guru pendidikan khas/pemulihan. Keadaan ini kita boleh samakan dengan rawatan di hospital. Pesakit yang teruk ditempatkan di wad ICU/CCU. Pemerhatian dan rawatan adalah lebih rapi supaya pesakit dapat disembuhkan.

Oleh itu, RPI sangat diperlukan untuk kedua-dua kategori ini. Malah RPI juga sangat sesuai untuk murid pntar cerdas. Dengan kemudahan yang telah disediakan, saya menganjurkan supaya para guru pemulihan masuk ke portal dan cuba menerokanya kerana ia akan membantu guru utk menghasilkan RPT dan Rancangan Harian dengan lebih berkesan lagi.

Maklumat murid yang sedia ada memang murid pendidikan khas . Para guru boleh tambah maklumat murid dengan menggunakan button yang sdia ada dalam Portal. Guru Pemuliahan hanya perlu mengisi PPI 1 hingga PPI 4 sahaja. sila gunakan kod sekolah yang ditaip rapat dan berhuruf besar sebagai User ID. Manakala passwordnya 123. Sila maklum kepada saya, sekiranya ada menghadapi masalah untuk masuk ke portal ini.

Tidak salah untuk mencuba.

[DOWNLOAD] Buku Lembaran Kerja Bahasa Melayu dan Matematik Program Pemulihan Khas 2012

Buku Lembaran Kerja Bahasa Melayu dan Matematik ini diterbitkan bersama dengan buku Panduan Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu dan Matematik Program Pemulihan Khas pada tahun 2012. Ia diterbitkan oleh Unit Pemulihan Khas, Bahagian Pendidikan Khas, KPM.

Lembaran kerja Bahasa Melayu yang disediakan terdiri daripada 32 kemahiran ditambah satu lagi kemahiran pratulisan dan prabacaan. Ia mengandungi 122 muka surat.

Manakala lembaran kerja Matematik pula terdiri daripada tajuk-tajuk seperti pranombor, konsep angka, nombor hingga 100, operasi tambah/tolak/darab/bahagi, masa dan waktu, wang, penyelesaian masalah. Ia mengandungi 157 muka surat. Untuk download buku-buku ini, sila lihat pautan di akhir entri.







[DOWNLOAD] Instrumen Kemahiran Asas Matematik (IKAM) Sekolah Rendah

Set Instrumen Kemahiran Asas Matematik (IKAM) Sekolah Rendah ini disediakan oleh Unit Pemulihan Khas, Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia. Ia merupakan bahan sokongan untuk guru-guru Pemulihan Khas dalam membantu murid tahun 4, 5 dan 6 yang masih belum menguasai kemahiran asas mengira. Set instrumen IKAM ini mengandungi 152 muka surat. 

Set IKAM ini mengandungi:

1) Instrumen Saringan 
- dilaksanakan pada awal tahun
- diuji kepada murid yang dikenalpasti masih tidak menguasai kemahiran mengira
- melibatkan operasi tambah, tolak, darab dan bahagi
- ditadbir oleh guru pemulihan atau guru guru mata pelajaran
- soalan terdiri drp tajuk pranombor, konsep nombor, mengecam nombor, nombor hingga 100, operasi tambah, tolak, darab dan bahagi.

2) Instrumen Pelepasan Tahap 1

- sebagai latihan kepada murid
 - soalan terdiri drp tajuk pranombor, konsep nombor, mengecam nombor, nombor hingga 100, operasi tambah, tolak, darab dan bahagi, masa dan waktu, wang, penyelesaian masalah.

3) Instrumen Pelepasan Tahap 2
-  dilaksanakan pada  3X setahun iaitu pada Januari, Jun dan Oktober
- diuji kepada murid untuk tujuan pelepasan murid ke kelas perdana.
- diuji selepas murid selesai belajar operasi tambah, tolak, darab dan bahagi
- sekiranya murid tidak lulus, murid dikira belum menguasai dan perlu mengulangi semula PdP
- murid yang lulus boleh kembali ke kelas arus perdana.
- tajuk diuji terdiri daripada operasi tambah, tolak, darab, bahagi, masa dan waktu, wang, penyelesaian masalah.

4) Borang Rekod Saringan dan Pelepasan



Klik link berikut untuk muat turun:

DOWNLOAD Set IKAM Sekolah Rendah


Kredit: Cikgu Mat Zaidi bin Dahlan

[DOWNLOAD] RPT Bahasa Melayu Pemulihan Khas Terkini (Kemaskini)

Assalamualaikum/Selamat sejahtera.

RPT BM Pemulihan Khas ini telah saya murnikan mengikut Buku Panduan Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu Program Pemulihan Khas yang diterbitkan khas oleh Unit Pemulihan Khas, Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia buat pertama kalinya pada tahun 2012.

Kemaskini: 


Ketetapan format sesuatu RPT adalah bergantung kepada ketetapan KPM/JPN/PPD/Sekolah (Panitia) masing-masing. 

Saya mendapat maklumat bahawa Guru Pemulihan Khas tidak perlu menyediakan RPT, namun saya secara peribadi memilih untuk menyediakan RPT bagi memudahkan saya menyediakan RPH. Namun RPT yang saya sediakan diubahsuai sesuai dengan kemahiran yang dipelajari dan pelaksanaan Program Pemulihan Khas.

Berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3/1999, setiap guru perlu menyediakan Rekod Pengajaran dan Pembelajaran yang terdiri daripada 2 perkara berikut:

1. Rancangan Pelajaran Tahunan (RPT)
2. Rancangan Pelajaran Harian (RPH)



MUAT TURUN (Download)


1. RPT BM Pemulihan Khas Terkini (Klik - request edit access)

[DOWNLOAD] Takwim Minggu Persekolahan Beserta Tarikh Cuti Umum dan Cuti Peristiwa

Di sini saya ingin kongsikan takwim minggu persekolahan sesi 2013 yang mengandungi bilangan minggu persekolahan (42 minggu), tarikh mengikut minggu, tarikh cuti umum dan juga cuti peristiwa. Saya telah sesuaikan dengan takwim sekolah saya.


MUAT TURUN

Minggu & Tarikh Persekolahan 2013



[DOWNLOAD] Buku Panduan Pengajaran & Pembelajaran Matematik Program Pemulihan Khas 2013

Buku Panduan Pengajaran dan Pembelajaran Matematik Program Pemulihan Khas ini telah diterbitkan oleh Unit Pemulihan Khas, Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia buat julung kalinya pada tahun 2012 untuk kegunaan guru-guru Pemulihan Khas.

Buku ini sebenarnya boleh diolah menjadi Rancangan Pelajaran Tahunan (RPT) Matematik Pemulihan Khas kerana ia mengandungi senarai kemahiran, objektif PdP, aktiviti yang boleh dijalankan semasa PdP dan senarai bahan yang digunakan.


[DOWNLOAD] Buku Panduan Pengajaran & Pembelajaran Bahasa Melayu Pemulihan Khas 2012

Buku Panduan Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu Program Pemulihan Khas ini telah diterbitkan oleh Unit Pemulihan Khas, Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia buat julung kalinya pada tahun 2012 untuk kegunaan guru-guru Pemulihan Khas.

Buku ini sebenarnya boleh diolah menjadi Rancangan Pelajaran Tahunan (RPT) Bahasa Melayu Pemulihan Khas kerana ia mengandungi objektif PdP, aktiviti yang boleh dijalankan semasa PdP dan senarai bahan yang digunakan.

Sebelum ini saya ada menulis tentang RPT BM Pemulihan Khas dan telah berkongsi soft copy RPT tersebut dengan guru-guru lain. Namun saya dapati apabila ia dibandingkan dengan Buku Panduan Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu Program Pemulihan Khas 2012, RPT yang saya kongsikan itu tidak lengkap kerana tidak mempunyai objektif PdP. Malah Buku Panduan Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu Program Pemulihan Khas 2012 adalah lebih tepat dan terkini kerana terdapat tambahan kemahiran prabacaan dan pratulisan. PdP juga dimulakan dengan pengenalan kepada huruf-huruf vokal.

Kemaskini: Program Pemulihan Khas sebenarnya tidak mempunyai RPT yang khusus, namun saya menyediakan RPT untuk memudahkan saya menyelaras PdP kelas Pemulihan Khas dengan takwim tahunan sekolah.


 

[DOWNLOAD] Rancangan Pelajaran Tahunan (RPT) Bahasa Melayu Pemulihan Khas



Rancangan Pelajaran Tahunan (RPT) Bahasa Melayu Pemulihan Khas ini telah saya selaraskan mengikut takwim tahunan sekolah saya. Ia hanya sekadar rujukan peribadi saya sahaja. Saya kongsikan  RPT ini di sini semoga ia dapat membantu rakan-rakan guru yang lain yang memerlukan.

Kemaskini: Program Pemulihan Khas sebenarnya tidak mempunyai RPT yang khusus kerana murid mengikuti program Pemulihan Khas mengikut kemahiran yang belum dikuasai selepas ujian saringan dan ujian diagnostik dijalankan. Namun pada pandangan peribadi saya, saya lebih suka menyediakan RPT yang diubahsuai dengan menyelaras PdP kelas Pemulihan Khas dengan takwim tahunan sekolah.


Guru Pemulihan Dan Guru Ganti/Relief Seperti Tidak Dapat Dipisahkan

Tahun 2013 sudah membuka tirainya. Sesi persekolahan 2013 juga telah bermula hari ini bagi negeri-negeri selain kelantan, Kedah dan Terengganu.

Seawal tahun 2013, saya sudah pun menjadi guru ganti! 

Tugas saya sebagai Guru Pemulihan terpaksa ditangguhkan dahulu bagi melunaskan tugas sebagai guru ganti kepada seorang guru (guru A) yang dipindahkan ke prasekolah. Guru prasekolah sebelumnya (guru B) menerima arahan berpindah sekolah pada saat-saat akhir ke sekolah lain kerana sekolah saya terdapat lebihan guru beropsyen prasekolah. Maka, entah di mana pertimbangannya, saya (guru C), dengan rendah hati memegang kepada frasa " saya yang menurut perintah", menerima tugas menggantikan guru A (ambil jadual guru A sepenuhnya).

Guru A mengajar Bahasa Malaysia tahun 1, maka saya terlibat dengan Program Transisi Tahun 1 selama lebih kurang 3 minggu. Harap-harapnya saya tidaklah perlu menjadi guru ganti/guru relief sejauh itu kerana kemungkinan besar akan datang seorang guru baru ke sekolah saya bagi menggantikan tempat guru A .

Buat masa ini saya mengambil pendekatan berlapang dada dan menerimanya dengan positif walaupun sejak saya menjadi GPK bermula 2011, saya dan guru ganti seperti tidak dapat dipisahkan....!


Sekadar hiasan



Peluang Pekerjaan di Sektor Awam Dijangka Akan Berkurangan Pada tahun 2013


Impak pelaksanaan opsyen persaraan pada umur 6o tahun.

PENGAMBILAN PENJAWAT AWAM DIJANGKA KURANG TAHUN DEPAN - PENGERUSI SPA

PUTRAJAYA, Dis 8 (Bernama) - Pengambilan penjawat awam dijangka berkurangan pada tahun depan berikutan pelaksanaan opsyen pelanjutan umur persaraan daripada 58 tahun kepada 60 tahun, kata Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Tan Sri Mahmood Adam pada Sabtu.

Secara purata, beliau berkata SPA menerima hampir 1.2 juta permohonan kerja setiap tahun dan kira-kira 40,000 calon diambil untuk berkhidmat dalam sektor awam.

"Pada tahun ini dan tahun depan, ramai penjawat awam telah memilih opsyen untuk bersara pada umur 60 tahun, maka pengambilan sudah berkurang."

"Namun, selepas tahun depan, apabila ramai yang bersara pada usia 60 tahun, jumlah pengambilan akan bertambah sekurang-kurangnya 10 peratus. Saya menjangkakan sekurang-kurangnya 50,000 penjawat awam akan diambil," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pengenalan Kepada Skil Pekerjaan Sektor Awam di Pejabat SPA di sini.

Mahmood berkata seminar yang pertama kali diadakan ini bertujuan untuk membantu calon yang memohon pekerjaan dengan SPA agar melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran skil pekerjaan sekali gus dapat meningkatkan peratusan kebolehdapatan pekerjaan di sektor awam.
 
Bernama 8/12/2012

Sekadar hiasan

Peranan Guru Pemulihan/Guru Pemulihan Khas Berdasarkan Garis Panduan Pelaksanaan Program Pemulihan Khas 2012

Sebagai Guru Pemulihan Khas (GPK), sangat penting untuk GPK mengetahui peranan yang perlu dilaksanakan untuk memastikan pelaksanaan progam pemulihan khas berjalan dengan lancar dan berkesan. 


Saya juga ada menulis tentang senarai tugas dan tanggungjawab guru pemulihan khas berdasarkan buku Garis Panduan Pelaksanaan Program Pemulihan Khas (edisi percubaan 2008).

Kali ini saya menulis tentang tajuk yang sama tetapi berdasarkan sumber terkini iaitu Buku Garis Panduan Pelaksanaan Program Pemulihan Khas 2012.





Terdapat 8 senarai peranan Guru Pemulihan/Guru Pemulihan Khas iaitu:
  1. Merancang dan melaksanakan Program Pemulihan Khas mengikut prosedur yang ditetapkan.
  2. Memastikan murid tahap 1 dan tahap 2 menguasai kemahiran asas 3M sebagai sasaran kerja tahunan (SKT).
  3. Menjalankan IPMBDP dan ISD kepada murid yang kebarangkalian mempunyai ciri-ciri bekeperluan khas.
  4. Membantu guru-guru mata pelajaran dalam mengenalpasti murid-murid yang perlu mengikuti program pemulihan khas.
  5. Berjumpa dan berbincang dengan guru mata pelajaran, guru bimbingan, ibu bapa dan pihak-pihak lain untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang tingkah laku, tahap kesihatan dan lain-lain keterangan mengenai latar belakang murid.
  6. Bertindak sebagai Setiausaha Jawatankuasa Program Pemulihan Khas serta menjadi ahli Jawatankuasa Kurikulum Sekolah.
  7. Mengadakan latihan perkembangan staf mengenai Program Pemulihan Khas di peringkat sekolah.
  8. Menghadiri kursus/bengkel/taklimat yang dianjurkan oleh KPM/JPN/PPD. 

Cuba banding beza. 

Peranan Guru LINUS dan Guru Pemulihan Berdasarkan Buku Garis Panduan dan Pengoperasian Program LINUS.  
  1. Melaksanakan saringan bagi Lisan dan Bertulis dalam tempoh yang ditetapkan bersama-sama guru LINUS.
  2. Membantu guru LINUS dalam menyediakan media pengajaran.
  3. Merancang jadual waktu dan aktiviti untuk murid LINUS tegar dan murid pemulihan.
  4. Mengajar murid LINUS tegar.
  5. Menjadi ahli jawatankuasa program LINUS di sekolah.

Ia mungkin pertambahan kepada senarai tugas dan peranan GPK rasanya...

[DOWNLOAD] Buku Panduan dan Pengoperasian Program LINUS

Buku Panduan dan Pengoperasian Program LINUS penting untuk rujukan guru LINUS dan juga guru Pemulihan sebagai panduan dalam mentadbir dan melaksanakan program LINUS.

Antara isi kandungan buku ini ialah:
  • Latarbelakang program LINUS
  • Peranan FasiLINUS, guru LINUS, guru Pemulihan
  • Dokumentasi (Fail yang perlu disediakan)
  • Jawatan kuasa
  • Carta Alir
  • Contoh borang dan laporan


Klik di bawah untuk muat turun




Peranan atau Tugas Guru LINUS dan Guru Pemulihan Berdasarkan Buku Panduan dan Pengoperasian Program LINUS

Berdasarkan Buku Panduan dan Pengoperasian Program LINUS yang dikeluarkan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia, edisi cetakan pertama 2011, guru LINUS & guru pemulihan berperanan seperti berikut:


Peranan Guru LINUS
  1. Melaksanakan kursus dalaman kepada semua guru setiap kali berkursus.
  2. Melaksanakan saringan bagi Lisan dan Bertulis dalam tempoh yang ditetapkan.
  3. Mengumpul data bagi mengenal pasti murid LINUS tegar, LINUS dan arus perdana.
  4. Mentadbir kelas dengan baik dan sesuai dengan tahap keperluan murid.
  5. Mengadakan perbincangan dengan FasiLINUS untuk penambahbaikan dalam pelaksanaan program LINUS.
  6. Mengisi data selepas setiap kali saringan ke portal NKRA secara atas talian mengikut tempoh masa yang ditetapkan.
  7. Mencetak dan menfailkan data yang telah diisi di portal NKRA.
  8. Sentiasa mendalami kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.
  9. Menjadi ahli jawatankuasa LINUS sekolah.

Peranan Guru Pemulihan
  1. Melaksanakan saringan bagi Lisan dan Bertulis dalam tempoh yang ditetapkan bersama-sama guru LINUS.
  2. Membantu guru LINUS dalam menyediakan media pengajaran.
  3. Merancang jadual waktu dan aktiviti untuk murid LINUS tegar dan murid pemulihan.
  4. Mengajar murid LINUS tegar.
  5. Menjadi ahli jawatankuasa program LINUS di sekolah.

Peranan Pentadbir Sekolah
  1. Mengenal pasti dan menentukan guru LINUS.
  2. Membentuk dan melantik jawatankuasa kerja LINUS di sekolah dan dipaparkan di papan kenyataan.
  3. Menyediakan fail-fail pengurusan LINUS.
  4. Membuat perancangan tahunan.
  5. Memastikan saringan LINUS dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan.
  6. Memastikan dan mengesahkan data penguasaan murid/keputusan setiap saringan dimasukkan ke dalam portal NKRA mengikut tempoh masa yang ditetapkan.
  7. Memantau pelaksanaan program LINUS dan menjalankan tindakan susulan untuk penambahbaikan.
  8. Memberi motivasi kepada guru LINUS dan guru pemulihan.
  9. Memastikan guru LINUS dan guru pemulihan menggunakan modul LINUS yang dibekalkan oleh KPM.
  10. Bekerjasama dengan ibubapa/PIBG dalam memberi kesedaran, maklumat dan kepentingan program LINUS.
  11. Mencerap pelaksanaan PdP guru LINUS dan guru pemulihan.

Didik Hibur atau Fun Learning dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP)

Salam sejahtera.

Bercerita merupakan contoh aktiviti didik hibur.

Istilah didik hibur atau 'fun learning' diperkenalkan seiring dengan pelaksanaan KSSR pada tahun 2010. Ia merupakan satu pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran. Aktiviti didik hibur boleh dilaksanakan semasa melaksanakan set induksi atau semasa penutup sesi PdP.

Nota Kaki: Singkatan bagi Pengajaran dan Pembelajaran; P&P/PnP kini telah digantikan dengan PdP (Sebut P, d, P).

Definisi


Didik Hibur bemaksud mendidik sambil menghibur.

Kamus Dewan (2000) mentakrifkan didik sebagai pelihara, jaga dengan hati-hati dan ajar, manakala hibur bermaksud menyenangkan atau menggirangkan hati.

Rumusannya didik hibur merupakan satu pendekatan dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang bersifat santai dan berhibur seperti permainan, nyanyian, bercerita, lakonan dan puisi secara sistematik dan terancang.

Pengenalan Didik hibur adalah pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang menyeronokkan murid-murid. Walaupun murid seronok tetapi objektif pengajaran dan pembelajaran masih dapat dicapai seperti yang ditetapkan. Oleh itu, guru perlu merancang pengajaran dan pembelajaran agar isi kandungan mata pelajaran dapat disampaikan dengan berkesan.

Latar Belakang Didik Hibur


Cadangan pelaksanaan penyerapan pendekatan didik hibur dalam pengajaran bermula apabila keputusan kabinet pada 8 Julai 2009 yang memutuskan bahawa PPSMI dimansuhkan dengan mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan, manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil menjelang tahun 2012.

Kerajaan berhasrat memperkenalkan pendekatan didik hibur di sekolah rendah untuk merealisasikan hasrat transformasi pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Adalah diharapkan pendekatan didik hibur dalam bilik darjah akan menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih interaktif serta berpusatkan murid. Justeru pengajaran guru akan lebih mudah dihayati dan difahami oleh murid.

Ciri-Ciri Didik Hibur


Antara ciri-ciri didik hibur dalam pengajaran adalah seperti berikut:

(i) Sesi pembelajaran yang menyeronokkan kerana terkandung unsur kelakar, kecindan, ada unsur estetik, permainan muzik, lakonan dan sebagainya.

(ii) Mengurangkan tahap kebimbangan dan ketakutan murid kepada guru. Seperti yang dijelaskan sebelum ini didik hibur berkonsepkan santai dan berhibur.

(iii) Murid-murid sentiasa berada dalam keadaan pembelajaran yang positif, gembira dan tertunggu-tunggu untuk melalui sesi pembelajaran pada hari berikutnya.

(iv) Sesi pembelajaran yang penuh dengan pelbagai aktiviti yang menarik dan pelbagai. Menerusi aktiviti nyanyian dan lakonan umpamanya, murid-murid boleh main peranan dengan menyertai aktiviti tersebut sambil berhibur. Yang penting, arahan guru perlu jelas dan ringkas di samping penggunaan ICT dan BBM untuk menarik penglibatan murid terhadap pengajaran dan pembelajaran.

(v) Objektif aktiviti cenderung kepada pelbagai cara penyelesaian masalah dan kepelbagaian cara persembahan yang tiada unsur kalah atau menang, tiada ganjaran atau dendaan serta latihan dan penggunaannya menjurus kepada aktiviti p&p.

(vi) Salah atau tidak bukan matlamat aktiviti didik hibur, tetapi yang penting berjaya melibatkan seramai mungkin murid dan aktivitinya bersahaja dan santai.

(vii) Aktiviti yang dipilih lebih menjurus kepada aktiviti berkumpulan atau berpasangan supaya wujud semangat kerja berpasukan, kerjasama dan toleransi.

(viii) Murid bebas bersuara, mengeluarkan pendapat dan idea secara logik dalam keadaan terkawal untuk memberikan satu persembahan yang menarik.

(ix) Murid bebas untuk bergerak, berlakon, menyanyi dan sebagainya dalam keadaan terkawal.

(x) Aktiviti didik hibur banyak menggunakan komunikasi melalui bahasa tubuh.

Faktor Yang Mempengaruhi Pelaksanaan Didik Hibur: Guru


Kejayaan sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran itu adalah terletak kepada kebijaksanaan guru sebagai pengurus dan perancang pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Sebagai guru, beberapa perkara berikut perlu dipatuhi, iaitu:

( i ) Perwatakan guru yang menarik, kecindan, tidak menakut atau menggerunkan murid

( ii ) Bahasa yang digunakan sesuai dengan tahap murid.

(iii) Guru tidak menjatuhkan air muka atau memalukan murid di khalayak.

(iv) Guru seorang pengurus atau penganjur aktiviti yang baik.

(v) Sepatutnya guru boleh melakonkan pelbagai watak dalam pelbagai aktiviti.

(vi) Guru boleh membuat pelbagai suara.

(vii) Boleh memberi arahan dengan tepat dan menarik.

(viii) Seorang yang prihatin dan peka serta tajam daya pemerhatian.

(ix) Guru berkebolehan menukar atau melakukan penyesuaian mendadak

(x) Guru atau fasilitator seorang yang fleksibel

Aktiviti Didik Hibur


Kejayaan didik hibur secara kerkesan bergantung kepada aktiviti yang dirancang. Walau bagaimanapun terdapat beberapa ciri yang perlu diambil kira oleh guru semasa merancang aktiviti didik hibur dalam bilik darjah, iaitu:

( i ) Aktiviti perlu disesuaikan dengan tahap murid yang hendak diajar.

( ii ) Jalankan aktiviti yang murid-murid sedia ketahui berdasarkan silang budaya yang sama.

( iii ) Penyerapan didik hibur memerlukan tempoh pelaksanaan dan peruntukan masa pembelajaran yang sesuai atau waktu yang fleksibel.

( iv ) Aktiviti didik hibur boleh dilaksana, dijalan dan diselesaikan bersama murid-murid tanpa ada banyak masalah atau halangan.

( v ) Aktiviti yang dipilih tidak menjurus ke arah permusuhan atau konflik antara murid.

( vi ) Sediakan peraturan yang jelas, senang, mudah difahami atau diikuti oleh murid.

( vii ) Aktiviti didik hibur yang dirancang juga perlu memberikan kepuasan kepada mereka yang menyertainya, serta boleh disertai seramai mungkin murid.

Penutup


Pada dasarnya amalan penyerapan didik hibur bukanlah perkara yang baru dalam siri pendidikan negara. Untuk tujuan penegasan istilah didik hibur digunakan secara jelas sebagai komitmen yang bersungguh-sungguh kerajaan untuk mengaplikasikan pendekatan ini yang diadaptasikan menerusi pendekatan ‘Fun Learning’ yang digunakan secara meluas dalam pengajaran dan pembelajaran

Rujukan dan kredit:
1. Portal KSSR, Dr. Zailah Zainudin, IPG Kampus Raja Melewar