Diftong dan Vokal Berganding

Definisi Diftong


Apabila wujud dua huruf vokal (a,e,i,o,u) yang duduk bersebelahan dalam perkataan dan disebut dalam satu suku kata atau satu sebutan bunyi. Diftong dieja dengan gabungan dua huruf vokal yang dilafazkan sebagai bunyi luncuran iaitu bunyi vokal yang pertama menggeluncur ke bunyi vokal yang kedua. Sebutan bunyi vokal yang pertama adalah lebih lantang (kuat) berbanding bunyi yang kedua.

Dalam Bahasa Melayu, terdapat tiga jenis huruf diftong yang dieja dengan gabungan huruf vokal iaitu;
  1. ai
  2. au
  3. oi
Secara lebih terperinci, diftong ialah:
  1. Gabungan dua bunyi vokal yang dilafazkan secara berterusan dalam satu hembusan nafas. 
  2. Terhasil apabila bunyi satu vokal menggeluncur dengan cepatnya ke suatu vokal lain. 
  3. Ia dianggap sebagai satu suku kata, dan dilambangkan oleh dua vokal tetapi bertindak sebagai satu fonem. Ertinya, lidah pada mulanya diletakkan pada keadaan sebagaimana membunyikan sesuatu vokal, kemudian digeluncurkan ke arah membunyikan vokal yang lain. 
  4. Terdapat tiga jenis diftong iaitu ai, au, dan oi. 
  5. Untuk menghasilkan bunyi diftong ai, lidah berkeadaan sebagaimana membunyikan vokal “a”, dan secara cepat geluncurkan lidah ke arah membunyikan vokal “i” pula. Begitu juga cara membunyikan diftong au, dan oi. 

Contoh perkataan diftong


ai - gulai, balai, tapai, tembikai, sidai, keldai, kedai, gerai, buai, cuai, misai, petai, pantai, lantai, rantai, teratai, sungai

au - harimau, wau, pulau, surau, kerbau, pisau, limau, hijau, bangau, pau, aurat, saudara

oi - sekoi, koboi, kaloi, amboi, dodoi, boikot, konvoi







Vokal berganding (Vokal Rangkap)

Apabila wujud dua huruf vokal (a,e,i,o,u) yang duduk bersebelahan dalam perkataan, tetapi terpisah sebutan bunyinya dalam suku kata.






Secara ringkas diftong - vokal berganding:

Diftong

Dibaca sebagai satu suku kata dan dilafazkan dengan cepat. 

Kedai = ke+dai
pulau = pu+lau
amboi = am+boi

Vokal berganding

Perlu dibaca secara berasingan sebagai dua suku kata.

baik = ba+ik
kaum = ka+um
liar = li+ar 
luas = lu+as


*dikemaskini pada 9.2.2017

Sumber:

  1. http://rasfarina72.blogspot.com/2014/02/diftong-vokal-berganding-digraf-dan.html
  2. http://cikgupenmerah.blogspot.com/2012/05/apa-itu-vokal-berganding-dan-diftong.html
  3. http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/2012/12/diftong-dan-vokal-berganding.html